Terletak kra-kira 290 km dari Kuala Lumpur dan 185 km dari Kota Bharu. Perjalanan sejauh 90 km dari Gua Musang yang mengambil masa selama 1½ jam. Pintu masuk taman ini berada di Persimpangan Aring melalui Jalan Gua Musang-Kota Bharu. Dari sini, perjalanan sejauh 45 km melalui jalan berturap.
Terdapat juga beberapa buah chalet dan restoran yang menawarkan harga yang rendah. Khidmat pemandu pelancong yang bertauliah boleh didapati dari syarikat pelancongan di Pekan Gua Musang. Di sini juga boleh menyewa kenderaan untuk ke Kuala Koh. Para peminat burung akan berpeluang melihat pelbagai spesis burung liar yang terdapat di persekitaran hutan Kuala Koh. Bagi kaki pancing, tentu sekali ingin menduga kebolehan memancing di sungai-sungai yang ada. Hutan tropika yang kaya dengan flora dan fauna memberikan peluang terbaik bagi peminat seni fotografi untuk mengabadikan hutan ini dalam karya seni. Terdapat berbagai aktiviti yang boleh dijalankan di sungai di sekitar Kuala Koh seperti berkayak, mengayuh rakit buluh dan rakit gelembung. Pengunjung yang berminat menyertai aktiviti ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Jabatan Perhilitan dan Taman Negara di Kuala Koh. Selain itu, sebuah jambatan gantung telah siap dibina berhampiran Kuala Koh memberikan peluang kepada para pengunjungnya untuk menyaksikan keajaiban hutan hujan tropika yang menyimpan sejuta rahsia.
Taman ini telah mencatatkan 286 spesies mamalia dan 479 spesies burung. Terdapat 495 spesies ikan dan 512 spesies herpetofauna yang dikenalpasti di Taman Negara ini. Usia Taman Negeri Kelantan ini ialah lebih dari 130 juta tahun dan mempunyai kepelbagaian eko-sistem.